My Cute Buddies!

Thursday 8 May 2014

30 Hari Mengejar Kebahagiaan BAB 21


BAB 21

“ Apa yang dah jadi dengan sepupu awak tu?” soal Maya dengan tangan yang ligat menyimpan baju ke dalam almari.

Megat Andrian mengangkatkan keningnya dengan penuh tanda tanya. Matanya bundar memerhatikan Maya.

“ Sepupu?”

“ Alaaa.... yang ada skandal dengan awak tu? Ria. Hanya di Astro Ria...” ajuk Maya dengan penuh rasa meluat.

Megat Andrian membetulkan duduknya di atas katil. Matanya tunduk memandang tangannya.

“ Oh... hmm... dia dah kahwin. Kahwin dengan Tan Sri.... entah la. Tak ingat nama dia.”

“ Kahwin?!”

“ Ya...”

“ Kahwin?!”

“ Hesy... tak dengar ke saya cakap sekali? Tak payahla buat bentuk O dengan mulut tu. Ingat cantik sangat ke? Awak buat macam tu buat saya rasa macam nak sumbatkan kasut but saya aje.”

Maya tersenyum gatal. Dah kahwin rupanya perempuan tu....

Maya mengambil tempat duduk di sebelah Megat Andrian. Tangan Megat Andrian diambilnya lalu diletakkan di atas perutnya. Megat Andrian turut sama tersenyum. Tersenyum hot, bukannya gaya gatal macam Maya itu!

“ Kan? Baby-baby awak pun suka mak cik diorang dah kahwin,sebab itulah dia gerakkan tangan dia...” kata Maya spontan.

“ Eleh... mana awak tahu itu tangan dia? Suka hati awak aje.”

“ Tahulah... i'm hot,smart and delicious!” dah mula dah ayat merapu Maya itu.

“ Tak habis-habis dengan riak dia!” cubit Megat Andrian di pucuk hidung Maya. Geram barangkali.

“ Aduh sayang, aduh kasih, aku dah bosan dengan caramu....hmm... cuba kurangkan keganasan tu, tambahkan sedikit aura romantis, boleh sayang?” nyanyi Maya dengan lirikan mata menggoda. Lupa terus akan perihal Ria sebentar tadi. Tangannya mencengkam kolar baju Megat Andrian. Direnungnya mata Megat Andrian puas-puas.

“ Err... jom! Tok wan tunggu pulak kat bendang tu. Nanti matahari tenggelam kita tak nampak. Kita kena tengok tau. Cantik sangat.” akhirnya keluar pula ayat budak darjah satu Megat Andrian.

Langkahnya laju diatur keluar bilik sebelum benda lain pula yang terjadi. Maya hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Satu keluhan dilepaskan.

“ Hai... Megat... Megat... so cute! Macam manalah saya nak lepaskan awak? Never!” gumam Maya bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir. Langkahnya diatur jua keluar dari bilik.

<<<<<>>>>>

Berada dalam kereta lembu bersama Megat Andrian? Oh, perkara yang langsung tidak disangkanya akan terjadi itulah pengalaman yang paling menyeronokkan setakat dua jam ini berada di kampung tok wan ini. Tok wan pula setia menjadi pemandu mereka.

Bukannya apa, di samping dapat menikmati pemandangan kampung yang cukup indah, dapat juga Maya menikmati kekacakan makhluk Tuhan yang bergelar suaminya ini. Dengan rambut keperangannya yang sedikit beralun akibat ditiup angin, mata hijau yang kelihatan bersinar dek pancaran matahari yang kian suram, oh... cukup mengasyikkan!

“ Masa zaman tok wan baru kahwin dengan tok ayah kamu tu, selalu jugak arwah bawak tok wan datang ke sini. Tengok matahari terbenam.” tok wan memulakan bicara.

“ Saya rindu tok ayah,tok wan....” ucap Megat Andrian. Kepalanya ditundukkan sahaja,tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Maya.

Tok wan mengalihkan tubuhnya sedikit. Tangannya mengusap bahu cucunya penuh kasih. Cucunya yang inilah yang paling rapat dengan arwah suaminya dulu. Senyap suasana selepas itu sehinggalah mereka sampai ke kawasan sawah padi yang menghijau.

“ Haa... dah sampai pun. Sekejap lagi bolehla korang tengok matahari terbenam tu. Gerenti lagi cantik daripada yang ada dekat Bali tu!” tok wan ceria kembali. Tali yang diikat pada kedua ekor lembunya itu dipegang kemas.

“ Wahh.... cantiknya tok wan! Kalau macam ni, tiap-tiap harilah Maya nak datang sini!” teruja sungguh dia berasa pada ketika itu. Matanya terbeliak menikmati keindahan sawah padi menghijau itu.

“ Budak bandar tipikal....” gumam Megat Andrian perlahan namun dapat didengari Maya. Maya terus mengherotkan bibir kepada Megat Andrian, tanda 'ada saya kisah?'.

“ Megat Andrian Haikal.... dah tak reti-reti nak tolong isteri mu yang tengah boyot tu nak turun? Sebelum aku bukak mulut aku yang dah lama tak bebel, baik mu tolong bini mu cepat!” arah tok wan, garang!

Megat Andrian kelam -kabut mencapai tangan yang dihulurkan oleh Maya. Maya tidak lepas dari mengetawakan suaminya yang baru sahaja dimarahi oleh tok wan! Haha..

Aku, bo..bo..bo...bo...bosan! Aku bosan! Dengan bla...bla...bla...bla..bla.....

Tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi nada dering telefon yang cukup nyaring itu. Sudahlah kuat bunyinya, suara Stacy pun rasanya boleh didengari 100 meter jauhnya dari sini.

“ Halo! Ah? Arr.. waalaikumsalam! Apa?!” tok wan menjawab telefon yang sebesar remote tv itu. Mukanya berkerut-kerut. Tugasnya sebagai bidan kampung memerlukannya untuk menyimpan telefon bimbit bagi memudahkan penduduk kampung untuk berhubung dengannya.

Megat Andrian dan Maya berpandangan sesama sendiri. Tok wan pun ada handphone?!

“ Cepatnya dia nak bersalin! Okey! Aku datang sekarang, mu tunggu!”

Tok wan melemparkan pandangannya kepada pasangan suami isteri itu dengan riak wajah serba salah.

“ Korang tengok dululah matahari ni. Anak mak cik Senah dah nak bersalin. Aku kena pergi. Nanti dah terbenam matahari tu.... boleh mu call aku? Nanti aku datang dengan kereta lembu ni.”

Maya menahan senyumnya. Pertama kali dalam hidupnya kereta lembu dijadikan sebagai teksi. Teksi semulajadi! Megat Andrian pun sudah merah pipinya menahan tawa.

“ Tak apalah tok wan. Nanti saya jalan balik ajelah. Bukannya jauh sangat pun. Susah-susah saya kendong aje bini saya ni.” sengihan Megat Andrian semakin melebar melihat kerutan di wajah Maya.

Maya mengherotkan bibirnya. Eleh, ingat aku tak tahu rancangan kau yang nak ikat aku dengan kerbau? Oh,tidak! Penduduk kampung kan ramai, mintak tolong ajelah masa nak balik nanti!

“ Okeylah macam tu. Ron, Aldo, jalan! Laju sikitlah!” marah tok wan kepada dua ekor lembu itu. Namanya pun unik, seekor bernama Ron. Yang lagi seekor pula namanya Aldo. Gabungan nama Ronaldo. Bukannya apa, tok wan sudah terpesona dengan kekacakan pemain bola itu,sehingga menamakan lembu-lembunya dengan nama pemain kacak itu.

“ Lisa.... jom!” sahut Megat Andrian sambil menghulurkan tangannya. Dengan teragak-agak Maya mencapai huluran tangan suaminya itu. Bukannya boleh percaya sangat si Megat ini, kalau dihumbannya Maya masuk berkubang dalam lumpur itu bagaimana?

Lisa? Hmm... manis dan seksi bunyinya bila dia sebut. Sukanya!

Mereka berdua berpimpin tangan ke sebuah pondok di tengah sawah padi itu, betul – betul menghadap cahaya matahari yang kian suram. Masa yang cantik untuk menyaksikan ' sunset' bertaraf dunia seperti yang didakwa oleh tok wan itu.

Megat Andrian mendudukkan Maya dengan berhati – hati di atas pondok itu. Punggungnya sendiri pula dilabuhkan di sebelah Maya dengan kaki yang berjuntai ke bawah. Maya pula mengambil kesempatan dengan melentokkan kepalanya di bahu Megat Andrian. Bukan selalu dapat kesempatan ini!

“ Awak ni memang suka ambil kesempatan lah... miang betul!”sindir Megat Andrian.

Maya tetap tersenyum seperti biasa. Biarlah,nak kata apa pun katalah. Saya dah reda dengan keadaan awak macam ni. Sekurang-kurangnya ada jugak pengalaman manis dengan awak sementara saya masih sempat jadi isteri awak. Memikirkan soal isteri, terus diajukan soalan ini kepada lelaki di sebelahnya.

“ Betul awak akan ceraikan saya lepas bersalin nanti?” perlahan suara Maya bertanya. Megat Andrian tersentak mendengar soalan Maya itu. Dia berjeda seketika sebelum menjawab,

“ Kenapa tanya?”

“ Saja”

“ Hmm...entah” kepalanya dihalakan ke arah matahari yang kian melabuhkan tirainya.

Terangkat kepala Maya dengan jawapan selamba Megat Andrian. Begitu mudah dia jawab entah?

“ Saya pun tak tahu. Terlalu banyak...err... benda yang saya nak fikirkan. Sampai kadang – kadang tu sakit kepala fikir pasal semua tu. Ada doktor sebagai bini pun tak ada guna jugak. Bertambah sakit kepala dengan perangai gatal dia adalah...” gumam Megat Andrian.

“ Saya gatal? Hehe...” sengih Maya. Sebuah kucupan hinggap di pipi Megat Andrian.

Cepat-cepat lelaki itu mengelap 'bekas' ciuman Maya itu. Macamlah nanti dia dapat penyakit kalau kena cium macam tu. Tak sedar diri tu yang dah memang berpenyakit. Penyakit amnesia!

“ Janganlah awak... nanti orang nampak...”

“ Eleh...nak malu-malu pulak. Biarlah orang nampak pun, suami saya pun! Macam perempuan!”

“ Dah,dah! Tengok depan!”

“ Tak nak...tak nak... saya nak tengok awak jugak! Ohh.... suamiku,engkau begitu kacak hari ini! Begitu menggoda hari ini! Begitu hot,seksi,macho....”

Cupp! Tepat di bibir.

“ Tengok depan. Mulut tu jangan becok sangat. Esok saya takkan bawak awak datang sini lagi.”

Sebenarnya Megat Andrian hendak mengacah sahaja untuk mencium Maya. Entah bagaimana boleh pulak ter'accident' tadi. Sampaikan dia pun turut berasa malu!

Maya tidak berani untuk menoleh. Berani sungguh Megat Andrian ini! Ingatkan penakut! Berani macam..... Megat Andrian yang dulu! Opssss.....

<<<<<>>>>>

Mulutnya terkumat-kamit memarahi suaminya. Mana tidak marah? Sesedap hati dia tengah menikmati pemandangan matahari terbenam dan apabila dia menoleh ke sebelah, lelaki itu sudah tiada! Meninggalkan dirinya keseorangan di bendang yang cukup menakutkan ini! Langkahnya diatur perlahan menuju ke jalan denai. Sudahlah Maya tidak ingat langsung jalan untuk kembali ke rumah tok wan,suaminya pula hilang!

Ini mesti nak balas dendam dengan aku! Sakitnya kakiku! Aduh... melecet pulak masa-masa kritikal ni. Pakai kasut Clarks pun nak melecet! Lain kali baik aje aku pakai selipar Jepun,sep duit pun.

Maya menanggalkan kasut yang tersarung di kakinya. Sejak mengandung ini,kakinya mudah sahaja melecet akibat bengkak. Dia cuba untuk mengingati jalan untuk pulang ke rumah. Namun... gagal! Matanya tertancap pada seorang pemuda kampung, tidak berbaju dan berseluar pendek sedang menunggang motosikal Vespa. Umur... mungkin dalam lingkungan lapan belas gitu. Wajah seperti.... Hatta Dolmat! Comel!

Didengarnya dek laki kau Maya, mampus kau!

Tangannya dilambai ke arah pemuda itu. Maya tersenyum kepada pemuda itu. Pemuda itu membalas senyumannya lalu memberhentikan motosikalnya.

“ Assalamualaikum adik, adik tahu tak rumah tok wan Peah?”

“ Waalaikumsalam kak. Tok wan Peah? Tahu. Kenapa kak?” soal pemuda itu lagi bersama senyuman terlebih manisnya. Dia tidak menggunakan loghat Kelantannya memandangkan wanita mengandung ini kelihatan seperti orang luar. Takut pula tidak difahaminya.

“ Boleh tunjukkan akak jalan tak? Akak ni sebenarnya cucu tok wan. Baru kali pertama datang sini. Bolehla ye?”

“ Boleh tu memanglah boleh. Tapi,kenapa akak ni tak pakai kasut? Nak kata miskin... tengok baju akak pun rasanya dah lagi mahal dari moto saya!”

Maya mengangkat tangannya yang menjinjit kasutnya.

“ Kaki akak melecet teruk. Sebab tu akak tak pakai kasut”jelas Maya.

“ Ohh... kalau akak tak kisah, bolehla saya tumpangkan akak ke rumah tok wan. Itupun kalau akak sudilah naik moto buruk saya ni. Kesian saya tengok akak jalan sorang-sorang. Bahaya ni,dahla akak tengah mengandung..”pelawa pemuda itu sopan.

Maya berfikir seketika. Nak ikut tak nak? Kaki dah terlalu sakit ni...

“ Okeylah. Terima kasih dik...” baru sahaja Maya hendak duduk di tempat duduk penumpang di belakang,muncul sahaja suara lain.

“ Nak pergi mana tu tanpa izin saya?” suara garau itu menyapa. Mukanya masam mencuka.

Terkejut Maya melihat Megat Andrian yang muncul dengan kereta sorong. Mukanya pula merah dan berpeluh-peluh.

“ Err... saya nak baliklah. Saya tak ingat jalan nak ke rumah tok wan, jadi saya nak tumpang adik ni. Awak pula saya cari dari tadi tak jumpa....”

“ Betul tu abang Azhar.. err....maksud saya abang Andrian.” Megat Andrian mengerutkan dahinya. Ini kali kedua orang kampung ini termasuk tok wannya tersasul memanggilnya dengan nama Azhar. Kenapa?

Pemuda itu mengangguk-angguk mengiakan sahaja kata-kata Maya. Megat Andrian pula kelihatan masih tercungap-cungap. Satu keluhan berat dilepaskan.

“ Kau boleh balik Redwan. Nanti aku ajak dia balik.” pemuda itu cukup dikenalinya. Masakan tidak kenal? Anak ketua kampung tu...

Kali terakhir berjumpa dengan Redwan,pemuda itu masih kecil. Tetapi selepas berjumpanya dalam perjalanannya mencari kereta sorong itu,jangkaannya meleset sama sekali. Rupa-rupanya baru dia sedar bahawa ingatannya sudah lama ke belakang....

Redwan kelihatan serba salah sebelum berlalu pergi dengan motor Vespanya. Muka Megat Andrian masih masam mencuka. Tiada langsung secalit senyuman.

“ Duduk dalam ni. Jangan banyak soal.” arah Megat Andrian tegas.

“ Dalam ni?” soal Maya dalam nada terkejut.

“ Ya sayang... nak cakap macam mana lagi? Lain kali, jangan ikut orang yang tidak dikenali sewenang-wenangnya. Nak ke mana pun, bagitau saya dulu. Nak ke mana-mana,saya ikut. Jangan banyak tanya. Just this once, can you put your trust on me? Now, duduk!” serius sahaja wajah lelaki itu. Tidak berani Maya untuk buat sebarang lawak tidak lakunya pada ketika ini.

Maya duduk perlahan-lahan ke dalam kereta sorong itu sambil dibantu Megat Andrian. Tangannya tetap melekap kemas pada perut boyotnya itu. Perlahan-lahan Megat Andrian menolak kereta sorong itu.

Naik Vespa dengan budak cute,sangatlah stylo! Naik kereta sorong dengan lelaki hot,sangatlah tidak romantik! Konklusinya..... ke mana-mana pun dengan Megat Andrian,pastinya satu kenangan manis! Aww....

<<<<<>>>>>

Maya yang sedang menonton tv di ruang tamu itu beberapa kali menguap. Tok wan sudahpun masuk tidur. Megat Andrian? Entahla hilang ke mana lelaki itu...

“ Lisa! Jom, keluar jap!” sahut Megat Andrian di muka pintu rumah kayu itu.

“ Hah? Umm... okey!” Maya hanya bersetuju memandangkan tiada apa yang perlu dia lakukan pada ketika ini. Punat di alat kawalan jauh tv ditekan dan serta-merta skrin tv menjadi gelap. Langkahnya diatur keluar.

“ Taraaa....” Megat Andrian mendepangkan tangannya di hadapan buaian yang diikat di dua batang tiang kayu di bawah rumah tok wan itu.

“ Awak buat apa ni?” tersenyum Maya melihat Megat Andrian yang begitu ceria begini.

“ Tengok ni. Tak nampak ke? Buaian lah! Budak bandar macam awak manalah nak kenal dengan benda-benda macam ni semua? Meh sini,duduk.” sempat lagi disindirnya Maya.

“ What? Duduk dalam buaian tu? No! No! No! Kalau saya tak mengandung tak apalah, ini berat saya entah boleh tampung ke tidak buaian tu! Kalau saya jatuh macam mana?”

“ Takkan jatuh... buaian ni saya ikat kukuh la. Susah payah saya ikatkan dia, takkan awak tak nak cuba langsung? Tengok,ada tilam lagi kat bawah. Kalau awak jatuh,jatuh atas tilam ni lah!” bersungguh – sungguh Megat Andrian cuba menyakinkan Maya untuk duduk di buaian itu. Entah kenapa terasa teringin benar untuk duduk di dalam buaian ini.

“ Kalau tak jatuh atas tilam macam mana?”

“ Saya sambut awaklah. Kan saya dah kata? Just put your trust on me...” ayat itu diulangnya kembali.

Dengan perlahan -lahan Maya membaringkan tubuhnya di atas buaian itu. Matanya ditutup rapat kerana bimbang buaian itu akan tercabut dari ikatannya. Setelah selamat tubuhnya dibaringkan di buaian itu, barulah matanya dibuka. Nafasnya dihela lega.

“ See? Not so bad kan? Now, my turn!”

Belum sempat Maya membantah, Megat Andrian sudahpun menyelinap masuk ke dalam buaian itu. Terjerit kecil Maya dengan tindakan spontan suaminya itu. Megat Andrian menyeluk lengan kanannya di bawah kepala Maya. Lengan kirinya pula memeluk kemas Maya dalam dakapannya.

“ Saya dah kata,trust me. Dulu masa kecik-kecik dula selalu jugak saya tidur dalam buaian macam ni. Selesa sangat. Tak tahulah kenapa, rasa rindu nak tidur dalam buaian itu pun datang balik sekarang. Saya ajak awak sebab saya rasa keseorangan sangat. Kalau dulu, arwah tok ayah yang selalu temankan dan dodoikan saya dalam buaian ni. Buaian yang sama Lisa... saya rindu sangat masa tu... nasib baiklah saya masih dapat ingat semua tu...” luah Megat Andrian.

Sebak Maya mendengar luahan hati Megat Andrian. Ketika baru mengenal Megat Andrian di zaman sekolah pun, lelaki itu tidak pernah menceritakan perihal tentang tok ayahnya. Mungkin arwah terlalu rapat dengannya sehinggakan sebarang kenangan dengannya membawa seribu satu emosi.

“ Awak masih ada saya....”perlahan suara Maya. Satu ciuman diberikan di pucuk hidung Megat Andrian dengan lembut.

Dengan ayunan buaian yang perlahan bersama tiupan angin yang menderu-deru perlahan, akhirnya lena Maya dalam dakapan Megat Andrian. Terasa sungguh selamat,hangat dan selesa dalam dakapan itu....

4 comments:

  1. OMG sis... Sweetnya
    Bila la enovel ni nak dibukukan ye?
    Bestnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. insya-Allah,saya igt nak habiskan kat blog aje:)

      Delete
  2. Habis dekat belog jer.saya sokong

    ReplyDelete

surat layang untukku:-)